Skip to main content

In The News

KOTA KINABALU: Energy Commission of Sabah (ECoS) mengumumkan pelaksanaan program Pengurusan Sisi Permintaan (Demand Side Management (DSM) di mana pengguna kuasa besar yang mempunyai genset sendiri dan menyertai program ini akan mengendalikan genset mereka.

Ini atas arahan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) semasa keadaan kekurangan kapasiti penjanaan Grid yang kritikal.

Ianya adalah untuk mengurangkan beban Grid dan mampu mengelakkan catuan bekalan kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, program DSM telah dilaksanakan sebagai mitigasi segera bermula pada 1 Mac lepas apabila jidar simpanan telah menurun sehingga di bawah tahap selamat.

Katanya, keperluan DSM telah diaktifkan beberapa kali pada bulan ini berikutan set penjanakuasa di salah satu loji janakuasa yang telah dihentitugas sementara bagi penyelenggaraan terancang yang tidak dapat ditangguhkan lagi.

“Set penjanakuasa tersebut akan terus dihentitugas sehingga akhir Mac 2024. Kejadian seumpama ini dijangka akan terus berulang sehingga penghujung tahun ini disebabkan oleh jidar simpanan (reserve margin) yang rendah akibat kekurangan kapasiti penjanaan di Grid Sabah.

“Setakat ini seramai 19 pengguna kuasa besar telah menyertai program DSM ini dan ianya berjaya mengurangkan beban Grid sehingga 18MW ketika diaktifkan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Abdul Nasser berkata,  CoS dan SESB akan meneruskan usaha untuk mengenalpasti pengguna berpotensi menyertai program ini bagi memberikan kelegaan yang berkesan kepada puncak sistem Grid Sabah.

Katanya, pengguna yang menyertai program ini akan diberi pampasan untuk penggunaan bahan bakar disel sewaktu pengoperasian set penjanakuasa mereka dalam tempoh DSM.

Bagaimanapun, katanya, catuan bekalan masih perlu dilakukan jika pengurangan beban Grid melalui kaedah DSM ini tidak mencukupi.

Justeru itu, beliau menggesa semua pengguna untuk mengamalkan penggunaan cekap tenaga dan penjimatan tenaga yang juga dapat membantu mengurangkan catuan bekalan, disamping mengurangkan bil elektrik pengguna serta mengurangkan kadar pelepasan karbon.

Menurutnya salah satu contoh amalan ini ialah untuk menetapkan suhu penghawa dingin pada 24 hingga 26 darjah Celsius.

“Perubahan suhu dari 20 kepada 24 darjah Celsius akan memberikan penjimatan 33 peratus tenaga elektrik,” katanya.

Langkah lain yang dapat memberikan kesan ialah untuk mengelakkan sekiranya boleh penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi seperti alat pemanas air, ketuhar elektrik, seterika elektrik, cerek elektrik pada waktu puncak antara jam 10 pagi – 12 tengah hari, jam 2 – 4 petang dan jam 6 – 8 malam sewaktu hari bekerja biasa.