Skip to main content

PERALIHAN KOD WARNA BAHARU KABEL DI SABAH

1. Mengapa kod warna kabel ditukar?

Perubahan ini dibuat untuk menyelaraskan kod warna kabel di Sabah dengan piawaian antarabangsa. Pelaksanaannya turut diselaraskan dengan Semenanjung Malaysia, W.P. Labuan dan Sarawak supaya amalan pendawaian lebih seragam. Ini membantu kerja pemasangan, pemeriksaan dan penyelenggaraan dilakukan dengan lebih teratur dan selamat.

2. Siapakah yang perlu mematuhi arahan ini?

Arahan ini perlu dipatuhi oleh pemilik dan pengurusan pepasangan elektrik, kontraktor elektrik, orang kompeten, pemegang lesen, pengilang serta pihak lain yang berkaitan di Sabah. 

Ia melibatkan kerja pendawaian baharu, tambahan atau pengubahsuaian di pepasangan domestik dan bukan domestik, termasuk industri dan komersial— contohnya rumah kediaman, bangunan pejabat, kilang dan premis perniagaan.

3. Bilakah penggunaan kod warna kabel baharu diwajibkan?

Penggunaan kod warna kabel baharu diwajibkan mulai 1 Januari 2029 bagi kerja pendawaian baharu, tambahan atau pengubahsuaian pendawaian. Sepanjang tempoh peralihan, iaitu dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028, kod warna lama masih dibenarkan. Walau bagaimanapun, penggunaan kod warna baharu digalakkan.

4. Apakah perbezaan kod warna kabel lama dan baharu?

Perubahan melibatkan warna kabel fasa dan neutral, manakala warna kabel pembumian kekal sama, seperti dalam gambar perbandingan berikut.

JANGAN BERGANTUNG PADA WARNA SAHAJA. Semua kabel MESTI diuji secara fizikal oleh Orang Kompeten ECoS sebelum kerja dilakukan untuk pengesahan dan kepastian.

5. Adakah semua kabel lama di rumah atau bangunan perlu ditukar?

Tidak. Pendawaian sedia ada yang telah dipasang menggunakan kod warna lama sebelum 1 Januari 2029 tidak perlu diganti semata-mata kerana perubahan kod warna, termasuk selepas penguatkuasaan sepenuhnya pada tarikh tersebut. Bagi kerja pendawaian baharu, tambahan atau pengubahsuaian pula:

Tempoh Penggunaan kod warna kabel bagi kerja pendawaian baharu, tambahan atau pengubahsuaian
1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028 Kod warna lama masih dibenarkan, manakala penggunaan kod warna baharu digalakkan.
Mulai 1 Januari 2029 Kod warna baharu hendaklah digunakan bagi kerja tersebut.

Sekiranya terdapat campuran kod warna lama dan baharu, label penandaan konduktor dan tanda amaran hendaklah dipasang dengan jelas mengikut Panduan Pelabelan ECoS, supaya fungsi konduktor dan kewujudan campuran kod warna dapat dikenal pasti. Semua pendawaian hendaklah berada dalam keadaan selamat, sama ada menggunakan kod warna lama, baharu atau campuran kedua-duanya. Sekiranya terdapat kerosakan atau keraguan terhadap keselamatannya, dapatkan pemeriksaan oleh Orang Kompeten ECoS.

6.Jika saya menambah soket, memasang litar baharu atau mengubah suai
pendawaian, kod warna manakah yang perlu digunakan?

Sehingga 31 Disember 2028, kod warna lama masih dibenarkan, tetapi penggunaan kod warna baharu digalakkan. Mulai 1 Januari 2029, kod warna baharu hendaklah digunakan bagi kerja tersebut.

Jika terdapat campuran kod warna lama dan baharu, keperluan pelabelan dalam Panduan Pelabelan ECoS hendaklah dipatuhi.

7.Bolehkah kod warna lama dan baharu digunakan dalam pepasangan yang sama?

Boleh, dengan syarat label penandaan konduktor dan tanda amaran dipasang dengan jelas mengikut Panduan Pelabelan ECoS. Walau bagaimanapun, mulai 1 Januari 2029, kabel yang dipasang hendaklah menggunakan kod warna baharu, walaupun pepasangan tersebut masih mempunyai pendawaian berkod warna lama.

8. Mengapa fungsi kabel tidak boleh dikenal pasti berdasarkan warna sahaja?

Warna yang sama boleh menunjukkan fungsi kabel yang berbeza:
 

  • Kabel hitam: digunakan sebagai neutral dalam kod lama, tetapi sebagai fasa dalam kod baharu.
  • Kabel biru: digunakan sebagai fasa dalam kod lama, tetapi sebagai neutral dalam kod baharu.

Oleh itu, melihat warna sahaja tidak mencukupi untuk memastikan fungsi sesuatu
kabel, terutama jika terdapat campuran kod warna lama dan baharu.
Semua kabel MESTI diuji secara fizikal oleh Orang Kompeten ECoS sebelum kerja
dilakukan untuk pengesahan dan kepastian.

9. Apakah label yang perlu dipasang pada kabel?

Konduktor fasa, neutral dan pembumian hendaklah dilabel dengan jelas pada hujung kabel atau titik sambungan yang boleh dicapai, sama ada menggunakan kod warna lama atau baharu.

 

Fungsi kabel Label
Fasa — litar satu fasa L
Fasa — litar tiga fasa L1, L2, L3
Neutral N
Pembumian PE

Pelabelan dibuat pada bahagian yang boleh dicapai, seperti di dalam papan agihan atau kotak sambungan, tanpa perlu mengeluarkan keseluruhan kabel yang tertanam dalam dinding.

10. Bilakah tanda amaran “AWAS” diperlukan dan di manakah ia perlu dipasang?

Tanda amaran “AWAS” hendaklah dipasang apabila kod warna lama dan baharu digunakan dalam pepasangan yang sama. 
Pasang tanda amaran pada papan agihan (DB) atau papan suis utama (MSB), di tempat yang jelas kelihatan kepada orang yang menjalankan pemeriksaan atau kerja elektrik. 

Mesej tanda amaran ialah: 
AWAS PEPASANGAN INI MENGANDUNGI 2 KOD WARNA KABEL

Saiz minimum tanda amaran ialah 8 cm × 12 cm, seperti contoh dalam Panduan Pelabelan ECoS. Tanda amaran dan label penandaan konduktor hendaklah menggunakan bahan yang sesuai dan tahan lasak, supaya tidak mudah tertanggal, pudar atau sukar dibaca.

11. Bagaimanakah peralihan kod warna kabel memberi kesan kepada projek yang sedang berjalan, pendawaian sedia ada dan baki stok kabel lama?

Perancangan projek mulai 1 Januari 2026 hendaklah mengambil kira peralihan ini. Kod warna kabel yang digunakan hendaklah mengikut keperluan pada tarikh kabel dipasang, bukan tarikh projek bermula, bangunan siap atau bekalan elektrik disambungkan. 

A. Tempoh peralihan: 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028
 

Situasi Penjelasan
1. Pendawaian baharu dipasang sepanjang tempoh peralihan. Kod warna lama masih dibenarkan, manakala penggunaan kod warna baharu digalakkan. Kabel hendaklah dilabel mengikut fungsinya. Tanda amaran “AWAS” diperlukan jika terdapat campuran kod warna lama dan baharu.
2. Soket atau litar ditambah, atau pendawaian diubah suai pada pepasangan berkod warna lama. Kod warna lama masih dibenarkan, manakala kod warna baharu digalakkan. Jika terdapat campuran kod warna, label pada kabel lama dan baharu serta tanda amaran “AWAS” hendaklah dipasang mengikut Panduan Pelabelan ECoS.
3. Masih terdapat baki stok kabel berkod warna lama. Stok kabel lama masih boleh digunakan bagi pemasangan sehingga 31 Disember 2028. Mulai 1 Januari 2029, kabel yang dipasang hendaklah menggunakan kod warna baharu. Kabel hendaklah dilabel mengikut fungsinya. Tanda amaran “AWAS” diperlukan jika terdapat campuran kod warna.
4. Kabel berkod warna lama telah dipasang sebelum 1 Januari 2029, tetapi bangunan siap atau menerima bekalan elektrik pada atau selepas tarikh tersebut. Kabel tersebut tidak perlu ditukar kepada kod warna baharu, dengan syarat pendawaian selamat dan memenuhi keperluan berkaitan. Tarikh bangunan siap atau menerima bekalan tidak mengubah ketetapan ini. Label penandaan konduktor hendaklah dipasang dengan jelas. Jika terdapat campuran kod warna, tanda amaran “AWAS” juga hendaklah dipasang.
5. Projek telah bermula, pelan telah diluluskan atau kabel lama telah dibeli sebelum 1 Januari 2029, tetapi kabel hanya akan dipasang pada atau selepas tarikh tersebut. Kod warna baharu hendaklah digunakan. Kabel berkod warna lama yang belum dipasang tidak boleh digunakan bagi pemasangan mulai 1 Januari 2029, walaupun telah dibeli lebih awal. Pemasangan label dan tanda amaran “AWAS” tidak membolehkan kabel lama tersebut digunakan.
6. Kerja tambahan atau pengubahsuaian dilakukan pada pepasangan sedia ada yang menggunakan kod warna lama. Kod warna baharu hendaklah digunakan bagi kerja tersebut. Pendawaian lama tidak perlu diganti semata-mata kerana perubahan kod warna. Jika terdapat campuran kod warna, label pada kabel lama dan baharu serta tanda amaran “AWAS” hendaklah dipasang mengikut Panduan Pelabelan ECoS.

Label pada kabel dipasang pada hujung kabel atau titik sambungan yang boleh dicapai. Tanda amaran “AWAS” dipasang pada papan agihan (DB) atau papan suis utama (MSB) apabila terdapat campuran kod warna. Kedua-duanya hendaklah menggunakan bahan yang sesuai dan tahan lasak.

12. Di manakah pertanyaan lanjut boleh dikemukakan?

Pertanyaan boleh dikemukakan melalui Talk2ECoS di talk2.ecos.services. 

Pastikan pertanyaan dinyatakan dengan jelas dan disertakan dengan lampiran yang sesuai, seperti gambar atau dokumen berkaitan, sekiranya perlu.