Skip to main content

ECoS Mendakwa Individu Penempatan Setinggan atas Kes Kecurian dan Menjual Elektrik Tanpa Lesen Sah

KOTA KINABALU, 4 Disember - Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) telah melaksanakan pendakwaan terhadap seorang penghuni penempatan setinggan di Sepanggar.

Tertuduh telah dituduh melakukan beberapa kesalahan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024 (EBE 2024).

Pertuduhan pertama melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 8(1)(b) kerana membekalkan elektrik kepada beberapa premis dalam penempatan setinggan tanpa lesen yang sah. Sekiranya disabitkan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua melibatkan kesalahan di bawah Sekysen 61(3)(a) atas kesalahan mengambil elektrik secara curang. Jika disabitkan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM1 ribu dan tidak melebihi RM100 ribu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Manakala pertuduhan ketiga pula adalah di bawah Seksyen 61(8) kerana memasang pendawaian elektrik tanpa kebenaran pemegang lesen iaitu Sabah Electricity (SE). Kesalahan ini, jika disabitkan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50 ribu atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh tidak mengaku bersalah dan mahkamah membenarkan beliau untuk diikat jamin sebanyak RM15 ribu dan dua (2) orang penjamin tempatan.

Walaubagaimanapun, tertuduh telah direman kerana gagal membayar wang jaminan dan tarikh sebutan kes seterusnya telah ditetapkan pada 22 Januari 2026.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, “Ini merupakan kes pertama melibatkan kecurian elektrik di penempatan setinggan yang dituduh di Mahkamah. ECoS bersama-sama SE akan melipat-gandakan usaha bagi membanteras kegiatan kecurian elektrik”.

Beliau turut menambah, “Kegiatan mencuri elektrik di penempatan setinggan bukan sahaja mengakibatkan kerugian besar kepada SE, tetapi melibatkan isu-isu keselamatan kerana pepasangan yang tidak mengikut piawaian dan juga kerap menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada pengguna-pengguna berdaftar di kawasan berhampiran disebabkan beban berlebihan”.