Skip to main content

KENYATAAN UMUM SEMAKAN TARIF ELEKTRIK

Tarikh berkuatkuasa: 1 Februari 2026
Semakan tarif elektrik di bawah kerangka kerja Kawal Selia berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation - IBR) akan berkuatkuasa mulai 1 Februari 2026, bagi menampung kos pembekalan elektrik oleh Sabah Electricity, selaras dengan peruntukan Seksyen 39, Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Kadar purata tarif asas 34.52 sen/kWj sebelum ini telah diselaraskan kepada 39.70 sen/kWj, di mana semakan tarif yang terakhir dilaksanakan pada tahun 2014. Bagi tempoh kawal selia kedua (Regulatory Period 2 – RP2 iaitu dari tahun 2026 hingga 2027) ini, kadar purata kos pembekalan elektrik atau tarif sebenar diperlukan ialah 45.08 sen/kWj berbanding dengan semakan tarif yang diluluskan iaitu 39.70 sen/kWj. Ini bermakna Kerajaan Persekutuan masih komited memberikan bantuan subsidi bagi menampung jurang perbezaan tersebut, di mana jumlah subsidi bagi dua tahun (2026–2027) adalah sebanyak RM849 juta.


Semakan tarif telah mengambilkira kepentingan pengguna domestik, peniaga kecil dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Sebanyak 85 peratus pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 600 kWj (iaitu amaun bil semasa RM5 hingga RM206) hanya mengalami kenaikan minima dari RM0 hingga RM27.


Bagi pengguna domestik miskin tegar, rebat eKasih sehingga maksimum RM40 sebulan akan terus diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem e-kasih. Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman sesawang Sabah Electricity (SE)
https://www.sesb.com.my/.


Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS)