Skip to main content

Program Khidmat Budi ECoS Bantu Pusat OKU dan PAUS

KOTA KINABALU, 14 April - Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) telah melaksanakan Program Khidmat Budi dengan mengunjungi Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan serta Pusat Autism Sabah (PAUS) sebagai sebahagian daripada inisiatif
tanggungjawab sosial korporat (CSR).


Dalam program tersebut, ECoS telah menyampaikan sumbangan berupa peralatan keperluan harian bagi menyokong operasi pusat serta memudahkan aktiviti harian kanak-kanak di kedua-dua institusi berkenaan.


Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan ECoS dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti, khususnya golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan.
“ECoS bukan sahaja berperanan dalam memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan bekalan tenaga di Sabah, tetapi juga komited untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Kami berharap sumbangan ini dapat memberi keselesaan serta membantu tenaga pengajar dalam menjalankan sesi pembelajaran dan penjagaan dengan lebih efektif,” kata beliau dalam ucapan sempena penganjuran sambutan Hari Raya bersama kanak-kanak dan para pendidik di Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan.


Turut hadir, Anggota Suruhanjaya ECoS, Datuk Tpr. Alijus Haji Sipil, yang menyertai program majlis tersebut sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kebajikan dan komuniti. Sementara itu, Penguasa Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan, Mary Sipaji, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh pihak ECoS dan
menyatakan, “Sumbangan ini sangat bermakna dalam membantu kami menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif untuk kanak-kanak serta pendidik di sini. Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ECoS atas sokongan serta keprihatinan terhadap keperluan khas kanak-kanak OKU dan usaha meningkatkan kesedaran mengenai autisme. Kami berharap lebih banyak pihak tampil ke hadapan untuk bersama-sama menyokong usaha seperti ini.”


Program Khidmat Budi ECoS merupakan salah satu usaha berterusan ECoS dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat serta menyemai nilai keprihatinan sosial dalam kalangan warga kerjanya.