Skip to main content

ECoS Melancarkan OPS KLIK 1.0

ECoSxOPS KLIK:  Ts. Muhammad Azuan Zainuddin, Director of  Safety and Monitoring Department of ECoS (centre) along with officers from ECoS and SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (Sabah branch) during the OPS KLIK 1.0 in one of the shops selling electrical goods in Tawau.

TAWAU, 22 November - Satu Operasi Pemantauan Bersepadu Kelengkapan Elektrik (OPS KLIK
1.0) yang diketuai oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) bersama SIRIM QAS International
Sdn. Bhd. (cawangan Sabah) telah dijalankan di sembilan buah kedai di sekitar bandar Tawau.
Hasil dapatan daripada OPS KLIK 1.0 mendapati bahawa masih terdapat barangan elektrik yang
tidak diiktiraf oleh ECoS-SIRIM atau Suruhanjaya Tenaga (ST)-SIRIM dijual kepada para
pengguna.
Ts. Muhammad Azuan Zainuddin, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Pemantauan ECoS,
selaku ketua operasi berkata, “Sejak kuasa pengawalseliaan pembekalan elektrik di seluruh
negeri Sabah beralih tangan daripada ST kepada ECoS pada 3 Januari 2024, di samping
memberikan pendedahan kepada para penjual kelengkapan elektrik pengguna mengenai
tanggungjawab ECoS dalam mengawal selia aktiviti penjualan kelengkapan elektrik pengguna di
Sabah, operasi ini juga bertujuan untuk memastikan kelengkapan elektrik yang dijual adalah
memenuhi kehendak Enakmen Bekalan Elektrik (EBE) 2024 dan Peraturan-Peraturan Bekalan
Elektrik (PPBE) 2024.”
“Selaras dengan Peraturan 100(1), PPBE 2024, apa-apa kelengkapan elektrik pengguna
hendaklah diuji dan disahkan selamat dan diluluskan oleh ECoS,” jelas Azuan, di mana beliau
turut menekankan kepentingan untuk para penjual barangan elektrik untuk mematuhi Peraturan
107 dan Peraturan 111(3) di bawah PPBE 2024 yang menyatakan bahawa hanya kelengkapan
elektrik pengguna yang telah diluluskan dan dilabelkan dengan Label Keselamatan ECoS-SIRIM
dan Label Penarafan Kecekapan Tenaga ECoS boleh dijual kepada para pengguna.
“Namun demikian, ECoS masih membenarkan aktiviti penjualan kelengkapan elektrik pengguna
yang mempunyai Label Keselamatan Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST)-SIRIM dan Label
Penarafan Kecekapan Tenaga ST di Sabah,” beliau berkata.
“Kegagalan oleh penjual kelengkapan elektrik pengguna untuk mematuhi Peraturan-Peraturan ini
boleh mengakibatkan kelengkapan elektrik itu disita dan dilupuskan (atau dialihkan) selaras
dengan Peraturan 110(2) dan Peraturan 113(2) di bawah PPBE,” sambung Azuan.
Sementara itu, Ts. Ridwan Saham, Ketua Pegawai Operasi ECoS berkata, “Operasi KLIK akan
giat dijalankan dan operasi seterusnya akan melibatkan lebih banyak agensi-agensi lain yang
berkaitan. ECoS akan teruskan komitmen dan tanggungjawab dalam menguatkuasakan
undang-undang yang berkaitan untuk memastikan hanya kelengkapan elektrik pengguna yang
selamat dan cekap tenaga dijual di Sabah.