Skip to main content

ECoS TERUS MENEKANKAN KESEDARAN KESELAMATAN ELEKTRIK DAN GAS

 

 

 

KENINGAU, 26 SEPTEMBER - Energy Commission of Sabah (ECoS) telah mengambil inisiatif untuk memberikan kesedaran berterusan berkaitan keselamatan elektrik dan penerangan mengenai standard prestasi perkhidmatan bekalan elektrik menerusi penganjuran seminar di Keningau pada hari ini. Seminar ini diadakan di Hotel Perkasa dan dirasmikan oleh Christine Tiffany Charlse Lohindun, Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Keningau, yang melibatkan seramai 150 orang pemimpin komuniti dan merupakan kesinambungan daripada program-program yang telah dilaksanakan di daerah lain kali ini telah diadakan sebelum ini.


Ridwan Saham, Ketua Pegawai Operasi ECoS berkata, “Selaras dengan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan pada bulan September tahun lalu, ECoS komited untuk memenuhi keperluan tenaga negeri dengan memastikan bekalan tenaga yang selamat, boleh dipercayai, dan mampan untuk Sabah, dan ini termasuklah tanggungjawab ECoS untuk memastikan rakyat Sabah menggunakan elektrik secara cekap dan selamat.” “Selain itu, ECoS telah menyampaikan taklimat berkaitan penggunaan tenaga elektrik secara cekap. Turut diundang adalah penceramah-penceramah daripada Sabah Electricity Sendirian Berhad (SESB) untuk menerangkan proses pembayaran rebat Guaranteed Service Level (GSL) dan keselamatan elektrik serta wakil daripada PETRONAS untuk menyampaikan pembentangan berkenaan dengan keselamatan pengendalian pepasangan gas domestik,” kata Ridwan.


ECoS akan terus membawa inisiatif seperti ini ke daerah-daerah lain sebagai komitmen dalam menyediakan platform khusus bagi orang awam berinteraksi secara langsung dengan ECoS. Selain itu, program seumpama ini adalah untuk memperkenalkan peranan dan tanggungjawab ECoS dalam memastikan orang awam sentiasa peka terhadap keselamatan dan penggunaan elektrik secara cekap tenaga.