Skip to main content

DOBI TANPA LESEN BOLEH MENGUNDANG RISIKO KESELAMATAN

ECoS officials along with laundry operators from Kota Kinabalu and its surrounding areas, and speakers representing ECoS, Ministry of Domestic Trade and Cost of Living (KPDN), BOMBA, and Kota Kinabalu City Hall (DBKK).

KOTA KINABALU, 28 Ogos - Pengusaha dobi di Sabah perlu mendapatkan kelulusan dan lesen gas yang sah daripada Energy Commission of Sabah (ECoS) bagi menggunakan sistem gas berpaip untuk mesin pengering dan pemanas air di premis masing-masing.

Bagi meningkatkan kefahaman mengenai aspek keselamatan sistem perpaipan gas dan kesedaran terhadap prosedur permohonan lesen yang melibatkan kelulusan pemasangan (ATI) dan permohonan kelulusan pengendalian (ATO), maka ECoS telah menganjurkan Seminar Pematuhan Bekalan Gas kepada pengusaha-pengusaha dobi yang memerlukan lesen penggunaan gas daripada ECoS, pada hari ini.

Penceramah yang mewakili ECoS, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN), BOMBA, dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga dijemput untuk mengendalikan taklimat masing-masing. “Sebagai badan kawal selia bagi industri tenaga di Sabah, ECoS perlu memastikan reka bentuk sistem perpaipan gas di premis-premis dobi dipasang mengikut piawaian yang ditetapkan serta selamat digunakan oleh pengguna,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid dalam teks ucapan beliau yang dibaca oleh Ridwan Saham, Ketua Pegawai Operasi ECoS,

“Mana-mana pengusaha yang gagal mematuhi perkara ini boleh dikenakan Tindakan undang-undang di bawah Seksyen 4 (3) Enakmen Bekalan Gas 2023, sekiranya didapati bersalah didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya, dan dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” ulas beliau.

Beliau juga mengulas bahawa pada masa ini, masih terdapat pengusaha dobi yang kurang kesedaran atau mengabaikan keperluan undang-undang dan pematuhan piawai keselamatan yang ditetapkan yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan, kebakaran atau letupan yang disebabkan oleh kebocoran gas. Selain daripada menganjurkan seminar-seminar kesedaran, ECoS akan kerap melakukan pemantauan terhadap premis dobi yang beroperasi tanpa lesen gas ECoS yang sah dan surat peringatan akan dikeluarkan bagi memastikan pematuhan oleh pengusaha dobi terhadap Enakmen Bekalan Gas 2023 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 2023