Skip to main content

PENCURI ELEKTRIK DIJATUHI HUKUMAN PENJARA

TAWAU, 10 Jun - Mahkamah Sesyen Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap seorang individu tanpa dokumen pengenalan diri selepas mengaku bersalah mencuri elektrik melalui sambungan haram di sebuah penempatan setinggan di Semporna.

Tertuduh, Abdul Hamid bin Siddiq, didakwa di bawah Seksyen 61(1) dan Seksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 (EBE 2024). Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan bagi pertuduhan kedua, dengan kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan serentak.

Kesalahan di bawah Seksyen 61(1), memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali. Manakala, Seksyen 61(8) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Undang-Undang Energy Commission of Sabah (ECoS), Nureen Natasha Mohd Raffie.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, kes tersebut merupakan kes ketiga yang didakwa tahun ini melibatkan sambungan elektrik haram di kawasan setinggan dan yang pertama berakhir dengan hukuman penjara.

“Hukuman yang dijatuhkan ini menunjukkan bahawa mahkamah memandang serius kesalahan kecurian elektrik dan sambungan haram yang bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada Sabah Electricity (SE), malah boleh menjejaskan kestabilan bekalan elektrik serta mengundang risiko renjatan elektrik dan kebakaran yang mengancam keselamatan nyawa dan harta benda,” katanya.

Beliau berkata ECoS tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan bekalan elektrik dan akan terus mempergiatkan operasi bersepadu bersama SE serta agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras kegiatan sambungan elektrik secara haram dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.