Skip to main content

Tarikh Penyelenggaraan Bersepadu Sabah Oil & Gas Terminal Dijadualkan Semula

KOTA KINABALU, 31 Julai – Tarikh kerja-kerja penyelenggaraan bersepadu di Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) Kimanis yang sepatutnya dijadualkan bermula 1 Ogos sehingga 7 Ogos 2025 telah dijadualkan semula kepada 5 Ogos sehingga 11 Ogos 2025.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, penjadualan semula ini telah diputuskan dalam satu mesyuarat bersama antara ECoS, Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Grid System Operator pada 30 Julai 2025. Penjadualan semula ini adalah untuk memberikan ruang kepada penyiapan kerja-kerja baikpulih kerosakan beberapa unit janakuasa milik Sabah Electricity dan Loji Penjana Kuasa Bebas, ujian keboleharapan pengoperasian loji Penjana Kuasa Bebas di Kimanis menggunakan bahan api disel dan juga penyiapan tambahan kapasiti Battery Energy Storage System sebanyak 40MW.

Penjadualan semula ini akan dapat mengurangkan secara signifikan impak catuan bekalan kepada pengguna di Negeri Sabah sekiranya perlu dilaksanakan untuk kestabilan rangkaian grid Sabah.

Menurut Nasser lagi “kerja-kerja penyelenggaraan bersepadu di SOGT beserta aset-aset di luar pesisir ini merupakan satu keperluan mandatori untuk memperbaharui Certificate of Fitness (CF) oleh Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi memastikan aset-aset yang terbabit sentiasa beroperasi memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan. Sepanjang kerja-kerja penyelenggaraan ini bekalan gas akan ditutup untuk dua buah Loji Penjana Kuasa Bebas iaitu Kimanis Power Plant dan SPR Energy yang mana akan beroperasi menggunakan bahanapi disel”.

Selain itu, kerja-kerja penyambungan paip gas bagi satu projek penjanaan baru yang sedang dibina oleh Sabah Electricity di Kimanis berkapasiti 100MW akan turut dilaksanakan yang hanya dapat dibuat semasa penutupan bekalan gas ini. Dengan siapnya projek ini pada suku ketiga 2025 beserta inisiatif peningkatan penjanaan yang lain, akan dapat meningkatkan jidar simpanan penjanaan Grid Sabah daripada 17% pada masa kini kepada 30%. Sebagai rekod, jidar simpanan pada tahun 2023 adalah kurang daripada 10%. Peningkatan jidar simpanan ini adalah sangat perlu untuk menambahkan daya tahan Grid Sabah sekiranya berlaku kerosakan beberapa loji penjanaan.

Tambah beliau, selain daripada usaha meningkatkan kapasiti penjanaan (supply side), pengguna elektrik boleh turut memainkan peranan dari aspek permintaan beban (demand side). Kaedah paling mudah ialah menggunakan elektrik secara cekap tenaga dan penggunaan elektrik yang boleh di buat selepas waktu puncak iaitu selepas jam 9 malam.