KOTA KINABALU, 2 Ogos – Penghentian sementara untuk tugas penyelenggaraan berkala Sabah & Oil Gas Terminal (SOGT) akan ditunda pada tarikh yang akan ditentukan kelak.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, “Penangguhan di SOGT ini dibuat setelah mengambilkira situasi terkini Grid Sabah dan keperluan masa tambahan untuk penyiapan ujian bagi sebahagian unit janakuasa IPP di Kimanis menggunakan bahan api alternatif disel, di samping kerja-kerja pembaikan loji janakuasa yang lain milik Sabah Electricity (SE) dan IPP”.
Tambah beliau, keputusan ini dicapai setelah meneliti risiko gangguan bekalan elektrik Grid Sabah berdasarkan keadaan terkini, berbanding dengan impak ke atas penangguhan kerja penyelenggaraan di SOGT.
Ini adalah bertujuan untuk memastikan para pengguna di Sabah dan W.P. Labuan tidak akan terkesan akibat catuan bekalan.
