
ECoSxKudat: Peserta-peserta Program Kesedaran Pengguna Tenaga Elektrik di Daerah Kudat bersama dengan Charles William Dabbi, Pegawai Daerah Kudat (depan-tengah), Ir. Ts. Ridwan Saham, Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ts. Jefrey Nuri, Pengarah Jabatan Operasi Industri ECoS, dan pegawai-pegawai daripada Sabah Electricity (SE).
KUDAT, 26 Jun - Energy Commission of Sabah (ECoS) telah meneruskan penganjuran Program Kesedaran Pengguna Tenaga Elektrik di Daerah Kudat, melibatkan pemimpin-pemimpin komuniti dari Mukim Dualog dan Tiga Papan.
Menurut Ir. Ts. Ridwan Saham, Ketua Pegawai Operasi ECoS, program ini merupakan inisiatif berterusan bagi mendekati dan menyampaikan maklumat kepada komuniti termasuk di luar bandar dan memperkenalkan peranan ECoS dalam mengawalselia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu. Beliau turut menegaskan kepentingan penggunaan kelengkapan elektrik domestik berlabel keselamatan seperti ECoS-SIRIM, SIRIM-ST atau SIRIM-MUT, bagi memastikan keselamatan pengguna.
Program ini merupakan kesinambungan kepada program kesedaran yang telah dilaksanakan di beberapa daerah lain seperti Ranau, Keningau dan Kota Belud. ECoS berharap maklumat yang dikongsikan dapat disebarluaskan oleh para pemimpin komuniti, sekaligus meningkatkan keselamatan dan kecekapan penggunaan tenaga elektrik.
Program ini dirasmikan oleh Charles William Dabbi, Pegawai Daerah Kudat, dan bertujuan memberi pendedahan berkaitan keselamatan elektrik, penggunaan tenaga secara cekap, pematuhan Enakmen Bekalan Elektrik 2024 serta pengenalan kepada standard prestasi yang ditetapkan oleh ECoS kepada Sabah Electricity melalui penetapan Guaranteed Service Level (GSL) dan Minimum Service Level (MSL).
Dalam ucapan perasmian, Encik Charles menekankan bahawa pemimpin masyarakat perlu mengikuti perkembangan semasa, dan menyifatkan program ini sebagai peluang penting untuk meningkatkan pengetahuan. Beliau menghargai usaha ECoS dan menyeru semua peserta agar memberi perhatian penuh dalam setiap sesi serta menyampaikan maklumat yang diperoleh kepada komuniti kampung masing-masing.
