Skip to main content

Lindungi Pelanggan, Lindungi Perniagaan: Seminar ECoS Tekankan Keselamatan Pepasangan Gas

KENINGAU, 12 Jun – Energy Commission of Sabah (ECoS) telah menganjurkan Seminar Keperluan Perlesenan Gas dan Keselamatan Pepasangan Sistem Perpaipan Gas bertempat di Keningau, Sabah. Seminar ini telah dirasmikan oleh Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Seminar ini telah memberi tumpuan untuk meningkatkan kesedaran pengusaha berkenaan aspek-aspek keselamatan pepasangan sistem gas berpaip serta pematuhan kepada perundangan dan piawaian ditetapkan.

Menurut Datuk Ir. Abdul Nasser dalam ucapan perasmiannya, pematuhan perundangan seperti mendapatkan kelulusan Approval To Install (ATI) dan Approval To Operate (ATO) adalah langkah penting bagi menjamin keselamatan bukan saja kepada pemilik dan pekerja tetapi orang awam yang menggunakan perkhidmatan dobi mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa pengusaha yang gagal mematuhi peraturan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

Turut hadir dan memberikan taklimat dalam seminar ini ialah wakil-wakil daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), serta Majlis Daerah Keningau.

Dalam seminar ini, penekanan juga diberikan kepada pelantikan Orang Bertanggungjawab (OB) yang kompeten bagi memastikan keselamatan jangka panjang premis perniagaan.

Seminar anjuran ECoS ini akan terus dipergiatkan sebagai sebahagian daripada komitmen untuk meningkatkan tahap keselamatan dan pencegahan daripada sebarang insiden berpunca daripada kebocoran gas selain memperkukuh pematuhan undang-undang.