KOTA KINABALU, 15 Mei – Energy Commission of Sabah (ECoS) memberikan penjelasan berkenaan prosedur dan keperluan pendaftaran pepasangan elektrik di Sabah selaras dengan peruntukan Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Menurut Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, berdasarkan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, pemunya pepasangan genset tunggu sedia, perlu mendaftarkan pepasangan mereka dengan ECoS. Pendaftaran pepasangan bukanlah sesuatu yang baru diperkenalkan oleh ECoS, tetapi telah dikuatkuasakan sebelum ini oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) melalui Akta Bekalan Elektrik 1990.
Pendaftaran pepasangan merupakan satu mekanisma untuk ECoS memastikan setiap pepasangan adalah selamat melalui semakan maklumat pepasangan, pemasangannya dan pengujian yang perlu dilaksanakan oleh orang kompeten, serta keperluan lawatan pemeriksaan," kata Nasser.
Mengenai fi pendaftaran pepasangan, ECoS hanya mengenakan satu fi iaitu kadar fi tahunan sepertimana yang dimaktubkan dalam Peraturan Peraturan Bekalan Elektrik 2024. Kadar ini adalah masih sama seperti yang telah digunakan oleh ST dalam Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 sebelum ini.
Kadar fi tahunan tersebut adalah bergantung kepada kapasiti pepasangan yang bermula dengan RM30 (untuk kapasiti 10kW dan ke bawah) sehingga RM 3 ribu (untuk kapasiti melebihi 5,000 kW). Nasser juga menjelaskan bahawa maklumat yang ditularkan dalam media sosial kononnya ECoS mengenakan bayaran yang terlalu tinggi adalah kurang tepat.
Bayaran yang dimaksudkan dalam video tersebut mungkin sebutharga yang ditawarkan oleh juruperunding atau kontraktor yang dilantik sendiri oleh pemunya pepasangan bagi melaksanakan pengujian dan penyediaan dokumen untuk pendaftaran pepasangan. Kos-kos ini tidak dibayar kepada ECoS. ECoS merupakan agensi kawal selia dan bukannya entiti perniagaan untuk membuat keuntungan. Nasser menegaskan bahawa ECoS tidak menetapkan jadual harga bagi kos-kos melibatkan perkhidmatan juruperunding atau kontraktor. Ia ditentukan oleh harga pasaran dan bergantung kepada persetujuan di antara pemunya aset pepasangan dengan juruperunding atau kontraktor yang mereka lantik sendiri.
Pemunya aset boleh mendapatkan senarai kontraktor dan konsultan yang bertauliah daripada laman web ECoS untuk mendapatkan tawaran yang terbaik. Menurut Nasser lagi, “mana-mana pepasangan seperti genset tunggu sedia sepatutnya sudah lengkap dengan dokumen-dokumen seperti Borang G (perakuan penyiapan), Borang H (perakuan ujian) dan single line diagram semasa mula-mula pepasangan tersebut dipasang. Pemunya sepatutnya menyimpan dokumen-dokumen ini untuk rujukan masa hadapan dan juga memastikan pepasangan tersebut telah diuji selamat sebelum digunakan”.
Bagi pepasangan yang sebelum ini pernah didaftarkan dengan ST dimana dokumen-dokumen asal seperti Borang G dan Borang H telah dimajukan kepada ST, maka pemunya hanya perlu membuat deklarasi dan akan diberikan kelonggaran dengan syarat bahawa tiada perubahan dibuat ke atas pepasangan sepertimana pendaftaran asal dengan ST.
ECoS juga memaklumkan bahawa pemunya boleh membuat permohonan pendaftaran dengan sendiri secara atas talian secara percuma dengan melayari portal ECoS Online System (EOS) dan memuatnaik dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan untuk mengurangkan bayaran kepada juruperunding atau kontraktor.
Orang ramai adalah disarankan untuk merujuk kepada pejabat ECoS sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan. Keselamatan adalah keutamaan kami dan pendaftaran pepasangan adalah langkah penting dan tidak boleh diambil remeh dalam memastikan semua pepasangan elektrik di Sabah mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan demi keselamatan orang ramai dan harta benda.
