
ECoS: Datuk Ir. Abdul Nasser bin Abdul Wahid, CEO
ILTP: Datuk Mohd. Hanafiah Bin Mohd. Kassim, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi Puan Kamsiah Binti Ibrahim, Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia
6 pelajar Program Teknikal ILTP
Witnesses:
1. YAB Chief Minister of Sabah
2. YB Dato’ Sri Haji Julaihi Bin Haji Narawi, Menteri Di Kementerian Utiliti & Komunikasi Sarawak;
3. YB Datuk Ir. Shahelmey Bin Yahya, Timbalan Ketua Menteri III
4. YB Datuk Hj Ibrahim Bin Hj Baki, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad & Petros)
KOTA KINABALU, 22 April – Energy Commission of Sabah (ECoS) dan Institut Latihan Teknik dan Perdagangan, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (ILTP, JPSM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini. Program TVET Angkat (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) ini memberi tumpuan kepada pembangunan kompetensi dalam bidang elektrik dan gas bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang berdaya saing dalam industri tenaga, sekaligus membuka peluang kerjaya yang lebih luas untuk belia Sabah. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga Menteri bertanggungjawab dalam portfolio Tenaga berkata, "Melalui program ini, kita akan memastikan belia Sabah dilatih dalam bidang elektrik dan gas, menyediakan mereka dengan kemahiran berasaskan kompetensi sebenar industri dengan pengiktirafan daripada ECoS." Beliau menambah bahawa program ini juga mampu melatih lebih ramai usahawan Bumiputera dalam industri tenaga dan menyediakan laluan kerjaya yang jelas dari peringkat kemahiran asas sehingga ke tahap profesional. Ketua Menteri turut menyatakan harapan agar Program TVET Angkat ECoS ini dapat membina hubungan profesional di antara agensi kawal selia negeri Sabah dan ILTP, JPSM serta memperkukuhkan platform bagi pendidikan berterusan selaras dengan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan pada bulan September 2023. Pelan ini dirangka untuk memenuhi keperluan tenaga negeri dengan memastikan bekalan tenaga yang selamat, boleh dipercayai, dan mampan, dan ini termasuk tanggungjawab ECoS untuk meningkatkan kualiti modal insan di Sabah. Majlis Pertukaran Dokumen MoU telah disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YBhg. Datuk Mohd Hanafiah bin Datuk Haji Kassim. Dalam majlis tersebut, Kerajaan Sabah diwakili oleh Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, manakala pihak ILTP, JPSM diwakili oleh Puan Kamsiah binti Ibrahim, Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia.
Kerjasama ini akan merangkumi pewujudan Program Kompetensi Gas ECoS di ILTP, JPSM untuk rakyat Sabah, bertujuan meningkatkan bilangan Orang Kompeten Gas di negeri ini. ECoS akan menyediakan kepakaran dan nasihat teknikal dalam pembangunan sukatan pelajaran, modul pembelajaran, dan penentuan fasiliti yang sesuai. Selain itu, ILTP, JPSM akan dinaiktaraf secara berperingkat untuk mengendalikan Program Kompetensi Elektrik bagi kategori Penjaga Jentera Elektrik dan Pendawai Elektrik (sehingga tahap B4 dan PW4) dengan bimbingan teknikal daripada ECoS. Kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan ILTP, JPSM yang telah menamatkan mana-mana Program Kompetensi di bawah ECoS, dengan ECoS berperanan sebagai badan rujukan utama bagi pematuhan dan pentauliahan secara berterusan di ILTP, JPSM.
