
ECoS: Datuk Ir. Abdul Nasser bin Abdul Wahid, CEO
MUT: Datu Jafri Bin Lias, Setiausaha Tetap, Kementerian Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak
KOTA KINABALU, 22 April – Energy Commission of Sabah (ECoS) bersama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding – MoU) untuk Pengiktirafan Bersama Label Keselamatan Peralatan Elektrik dan Gas di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini. MoU ini bertujuan untuk mengiktiraf secara bersama label keselamatan bagi peralatan elektrik dan gas, serta mewujudkan kerjasama strategik yang lebih kukuh dan persefahaman dalam pengawalseliaan peralatan elektrik dan gas (dalam senarai terkawal) di Sabah dan Sarawak. Melalui MoU ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk saling mengiktiraf label keselamatan ECoS-SIRIM dan SIRIM-MUT bagi peralatan elektrik dan gas, serta menetapkan piawaian yang akan diguna pakai di kedua-dua wilayah. Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri yang bertanggungjawab dalam portfolio tenaga, YAB Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, “Kerjasama strategik ini penting dalam memperkukuh peranan kerajaan Sabah melalui ECoS dan Kerajaan Sarawak dalam memastikan hanya peralatan yang selamat dijual kepada orang awam.” Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, YB Dato Sri Haji Julaihi Haji Narawi pula menyatakan, “MoU ini akan membentuk satu ekosistem kawal selia yang diiktiraf bersama antara Sabah dan Sarawak. Melalui penyeragaman piawaian dan pelabelan keselamatan, kita bukan sahaja meningkatkan kecekapan pentadbiran, malah turut memperkukuh keyakinan pengguna serta menggalakkan persekitaran industri yang lebih mampan dan berdaya saing.” Selain daripada menjamin tahap keselamatan peralatan elektrik dan gas yang dijual kepada orang awam, pemeteraian MoU ini juga bertujuan mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan pemegang taruh seperti pengimport, pengedar, penjual, dan pengguna kerana kedua-dua label.
Dalam Majlis Pertukaran Dokumen MoU Kerajaan Sabah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, manakala Kerajaan Sarawak diwakili oleh Setiausaha Tetap MUT, Datu Jafri Bin Lias. Majlis turut disaksikan oleh YAB Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah dan YB Dato Sri Haji Julaihi Haji Nrawai, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak. Turut hadir ialah YB Dato Haji Ibrahim bin Haji Baki, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS); En. Kasvenda bin Kassim, Pengarah Pengedaran Gas Sarawak; serta beberapa pegawai kanan dari MUT dan ECoS.
