Skip to main content

UCAPAN ALUAN OLEH KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF ENERGY COMMISSION OF SABAH SEMPENA MAJLIS RAMAH MESRA AIDILFITRI

Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani, Salam Sabah Maju Jaya dan Selamat Hari Raya Aidilfitri. 

Syukur Alhamdulillah, pertama sekali izinkan saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita semua dapat berkumpul di majlis yang penuh barakah ini. Saya mewakili seluruh warga Energy Commission of Sabah mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah dan semua tetamu kehormat yang sudi hadir ke majlis ramah mesra Aidilfitri kami pada pagi yang bermakna ini. 

Sebagai sebuah organisasi yang masih baharu dalam ekosistem tenaga Sabah, ECoS dengan penuh rendah hati membuka pintu untuk meraikan kehadiran anda semua. Majlis pada hari ini bukan sahaja meraikan kemenangan selepas Ramadan, tetapi juga merupakan satu permulaan kepada beberapa inisiatif penting yang akan mengukuhkan landskap tenaga di negeri Sabah.

Sejak penubuhan ECoS, kami telah berusaha dengan gigih untuk meletakkan asas yang kukuh dalam melaksanakan mandat yang diamanahkan. Dengan sokongan padu kerajaan negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, kami telah merealisasikan beberapa inisiatif strategik yang akan disaksikan pada hari ini: 

Pertama, kita akan menyaksikan penukaran dokumen MoU antara ECoS dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT). MoU ini bertujuan untuk mewujudkan suatu sistem kawal selia yang dipersetujui bersama antara Sabah dan Sarawak dengan mengiktiraf secara bersama label keselamatan bagi peralatan elektrik dan gas. Kerjasama strategik ini amat penting dalam memperkukuh peranan kerajaan Sabah melalui ECoS dan Kerajaan Sarawak dalam memastikan hanya peralatan yang selamat dijual kepada orang awam di kedua-dua Wilayah. 

Kedua, pada hari ini juga kita akan melancarkan Program TVET Angkat ECoS yang merupakan inisiatif untuk membangunkan tenaga kerja tempatan dalam sektor tenaga. Inisiatif ini menandakan satu langkah penting dalam pembangunan tenaga kerja mahir Sabah, dengan menandatangani MoU antara ECoS dan Institut Latihan Teknik dan Perdagangan, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (ILTP, JPSM). Kerjasama strategik ini khusus dalam bidang elektrik dan gas akan dapat membentuk tenaga kerja kompeten yang merupakan salah satu pemboleh (enabler) di dalam Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040). Melalui program ini, belia Sabah bukan sahaja akan memperoleh kemahiran berasaskan industri dengan memiliki sijil pengiktirafan ECoS, malah berpeluang menjadi usahawan Bumiputera atau profesional dalam sektor tenaga. Inisiatif ini turut memperkukuh kerjasama antara agensi kawal selia dan institusi latihan, sekaligus menyokong pembangunan modal insan yang mampan. 

Dengan Program TVET Angkat ECoS ini, kami berharap dapat menyediakan peluang kerjaya yang cerah untuk anak muda Sabah dalam industri tenaga. Kamulah generasi masa hadapan yang akan mendokong tanggungjawab menyokong jaminan bekalan tenaga yang selamat dan boleh dipercayai bagi negeri kita. 

Dan akhir sekali, kita akan menyaksikan Penyerahan Sijil Pendaftaran sebagai Badan Penilaian Pematuhan Kelengkapan Elektrik Terkawal kepada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. Untuk makluman semua pihak SIRIM QAS telah pun dilantik sebagai Badan Penilaian Pematuhan Kelengkapan Gas Terkawal sebelum ini pada September 2023. Kita juga akan melihat kelebihan ciri-ciri baharu Label Keselamatan ECoS-SIRIM yang telah ditambah baik beserta gimik penyerahan Mock Label Keselamatan ECoS-SIRIM. Kerjasama strategik dengan SIRIM ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan produk-produk yang berada di pasaran Sabah mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang dikehendaki. SIRIM, dengan pengalaman luas dan kepakaran teknikal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, telah menjadi rakan kongsi yang ideal dalam usaha ini. Label Keselamatan ini bukan sekadar penanda fizikal, tetapi merupakan jaminan bahawa setiap produk yang membawa label ini telah melalui ujian dan penilaian menyeluruh mengikut piawaian keselamatan antarabangsa. Inisiatif ini juga diharap dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan elektrik dan gas, melindungi pengguna daripada produk yang tidak selamat, dan secara tidak langsung meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan elektrik dan gas di kalangan orang awam dan industri.

Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan hadirin sekalian. 

Sebagai organisasi baharu, kami sedar bahawa perjalanan kami masih jauh dan cabaran yang perlu ditempuhi masih banyak. Namun, dengan sokongan yang berterusan daripada kerajaan negeri dan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan, kami yakin akan dapat melaksanakan mandat pengawalseliaan tenaga dengan berkesan. 

Kami juga komited untuk sentiasa menumpukan usaha membangunkan kapasiti tempatan dalam sektor tenaga melalui program-program pembangunan kemahiran dan latihan serta penyertaan komposisi tempatan di dalam projek-projek pembangunan tenaga selaras dengan dasar Kerajaan Negeri. Kami di ECoS percaya bahawa sektor tenaga yang terurus dengan baik dan selamat adalah tunjang kepada pembangunan ekonomi negeri. Oleh itu, kami akan terus berusaha untuk memastikan bekalan tenaga yang mencukupi, mampu milik, dan mampan untuk pembangunan negeri Sabah. 

Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan semua tetamu kehormat atas kehadiran anda pada hari ini. Semoga majlis ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama erat antara semua pihak untuk memajukan sektor tenaga di Sabah. 

Marilah kita sama-sama merealisasikan visi untuk membangunkan sektor tenaga Sabah yang mampan, selamat, dan inklusif demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negeri yang kita cintai ini. 

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Sekian, terima kasih. Wabillahi Taufik Walhidayah Wasalamualaikum Warahmatullahi taala Wabarakatuh. 

DATUK IR. ABDUL NASSER BIN ABDUL WAHID KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF ENERGY COMMISSION OF SABAH