Skip to main content

Kes Usikan Pepasangan Meter: Pengusaha Premis Memilih Jalan Haram Bagi Memaksimumkan Keuntungan

 

KOTA KINABALU, 14 Februari - Energy Commission of Sabah (ECoS) memandang serius kes-kes kecurian elektrik melalui usikan meter yang agak berleluasa dan melibatkan tuntutan kerugian hasil oleh Sabah Electricity (SE) dianggarkan lebih dari RM18 juta sepanjang tahun 2024. 

“Pada tahun lepas, ECoS telah menjalankan serbuan bersama SE ke atas 21 premis industri dan komersil dan hasil daripada serbuan tersebut, didapati sebanyak 15 kes usikan meter telah ditemui yang telah menyebabkan kerugian yang ditanggung oleh SE melebihi RM3 juta. Setakat bulan Februari 2025, sembilan kes telah didakwa di mahkamah dan kesemua telah mengaku bersalah, di mana salah satu kes telah dikompaun sebanyak RM50 ribu. Sebanyak tiga lagi kes dalam proses pendakwaan di mahkamah dan dua kes masih dalam siasatan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid. 

Beliau turut menambah “Selain berhadapan dengan tindakan pendakwaan atau dikenakan kompaun oleh ECoS, SE juga boleh menuntut semula kerugian daripada pesalah berdasarkan Seksyen 63(6) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.”

 Berdasarkan Seksyen 61(3) Enakmen Bekalan Elektrik 2024, mana-mana pemilik premis atau pengusaha komersil dan industri boleh didenda tidak kurang daripada RM20 ribu sehingga RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali; dan bagi kesalahan kedua dan yang berikutnya, boleh didenda tidak kurang daripada RM100 ribu sehingga RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. 

“ECoS juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang didapati bersubahat melakukan pengusikan meter atau membuat pendawaian elektrik secara haram bahawa mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 62 Enakmen Bekalan Elektrik 2024.” kata Nasser. Beliau turut memberikan amaran kepada mana-mana premis yang melakukan pengusikan meter supaya menghentikan perbuatan tidak amanah tersebut atau berhadapan dengan tindakan undang-undang. ECoS akan melaksanakan lebih banyak aktiviti penguatkuasaan pada tahun ini bagi mengesan kes-kes kecurian elektrik termasuk di premis-premis domestik.