
ECoS-Sirim Ops Klik2.0: ECoS and SIRIM officers inspecting consumer electrical appliances in a convenience store selling consumer electrical appliances located in Putatan.
PUTATAN, 22 Januari - Energy Commission of Sabah (ECoS) menasihati para penjual kelengkapan elektrik pengguna untuk hanya menjual kelengkapan elektrik yang diiktiraf oleh ECoS atau Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) dari aspek keselamatan dan kecekapan tenaga.
Operasi Pemantauan Bersepadu Kelengkapan Elektrik (OPS KLIK) ECoS bersama SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (cawangan Sabah) di beberapa buah kedai yang menjual kelengkapan elektrik pengguna di Putatan baru-baru ini telah mendapati bahawa masih terdapat peralatan-per alatan elektrik pengguna termasuk kipas elektrik, cerek elektrik, ketuhar elektrik, mentol lampu, soket sambungan, kabel pendawaian, dan palam kuasa yang tidak mempunyai label keselamatan ECoS-SIRIM atau ST-SIRIM dan Label Penarafan Kecekapan Tenaga ECoS bagi kelengkapan elektrik yang berkenaan.
“Ramai penjual tidak menyedari risiko keselamatan kepada orang awam akibat daripada penjualan kelengkapan elektrik pengguna tanpa kelulusan ECoS dan ST di mana ianya boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan juga boleh membahayakan nyawa,” jelas Ts. Muhammad Azuan Zainuddin, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Pemantauan ECoS yang mengetuai OPS KLIK tersebut. Beliau juga menambah bahawa kebanyakan kelengkapan elektrik pengguna yang tidak berlabel menjadi pilihan orang awam mengambilkira harga yang lebih murah berbanding dengan kelengkapan yang telah mendapat kelulusan ECoS atau ST.
“Label keselamatan ECoS-SIRIM dan ST-SIRIM adalah penting untuk membuktikan bahawa sesuatu kelengkapan elektrik pengguna telah diperiksa dan diuji mengikut piawaian yang telah ditetapkan serta lebih selamat untuk digunakan berbanding dengan kelengkapan elektrik pengguna yang tidak berlabel,” kata Azuan.
Sementara itu, Ridwan Saham, Ketua Pegawai Operasi ECoS berkata, “OPS KLIK merupakan satu inisiatif penting ECoS untuk memberi pendedahan kepada para penjual kelengkapan elektrik pengguna di Sabah mengenai tanggungjawab ECoS dalam mengawal selia aktiviti penjualan untuk memastikan kelengkapan elektrik pengguna yang dijual memenuhi kehendak Enakmen Bekalan Elektrik (EBE) 2024 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik (PPBE) 2024 yang memperuntukkan bahawa hanya kelengkapan elektrik pengguna yang telah diluluskan dan dilabelkan dengan Label Keselamatan ECoS-SIRIM, ST-SIRIM dan Label Penarafan Kecekapan Tenaga ECoS boleh dijual kepada orang awam.”
Kegagalan untuk mematuhi Peraturan 107 dan Peraturan 111(3) di bawah PPBE 2024 boleh mengakibatkan kelengkapan elektrik tersebut untuk disita, dibuang atau dialihkan selaras dengan Peraturan 110(2) dan Peraturan 113(2) di bawah PPBE 2024.
