
Seminar and Dialogue on Electrical Enactment and Regulations with Competent Persons in the East Coast Region - held for the first time in Sandakan, involved 250 participants consisting of Electrical Competent Person from utility companies, installation personnel, electrical contractors as well as students from accredited training institutes, based in the East Coast of Sabah.
SANDAKAN, 6 NOVEMBER- Energy Commission of Sabah (ECoS) telah
mengambil inisiatif untuk memberikan kesedaran berkaitan keselamatan dan
kelestarian elektrik melalui penganjuran Seminar dan Dialog Enakmen dan
Peraturan Elektrik bersama Orang Kompeten di Wilayah Pantai Timur.
Seminar yang julung-julung kali dilaksanakan di Sandakan telah dirasmikan
melibatkan seramai 250 peserta dari Pantai Timur Sabah yang terdiri daripada orang
kompeten utiliti, pepasangan, kontraktor, serta pelajar-pelajar daripada
institusi-institusi bertauliah ECoS.
“Selaras dengan penguatkuasaan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, semua Orang
Kompeten yang berkhidmat di negeri Sabah perlu mendapatkan perakuan
kekompetenan daripada ECoS,” kata Ridwan Saham, Ketua Pegawai Operasi ECoS
dengan menambah bahawa semua perakuan kekompetenan daripada ST yang
dikeluarkan sebelum 3 Januari 2024 hanya boleh digunakan di Sabah untuk tempoh
selama 12 bulan seperti yang dijelaskan dalam Peraturan 60, Peraturan-Peraturan
Bekalan Elektrik 2024.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Jefrey Nuri,
Pengarah Jabatan Operasi Industri, ECoS semasa seminar tersebut yang turut
dihadiri oleh wakil daripada Sabah Electricity (SE), pihak berkuasa tempatan, pihak
kontraktor pemasang, dan Orang Kompeten yang diadakan di Institut Latihan
Perindustrian (ILP) Sandakan pada hari ini.
“Bermula 3 Januari 2025, hanya perakuan kekompetenan yang dikeluarkan oleh
ECoS boleh digunakan di Sabah, dan dalam usaha untuk memastikan Orang
Kompeten di Sabah memiliki perakuan kekompetenan daripada ECoS, semua
Orang Kompeten ST wajib menduduki dan lulus peperiksaan Enakmen Bekalan
Elektrik 2024 dan peraturan-peraturan di bawahnya sebelum dibenarkan memohon
perakuan yang setara,” kata Ridwan.
Bagi memudahkan pemegang perakuan kekompetenan ST menduduki kursus dan
peperiksaan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, ECoS telah mentauliahkan sebanyak
17 institusi latihan bagi mengendalikan kursus dan peperiksaan tersebut dengan
kadar yuran yang seragam di seluruh negeri Sabah iaitu sebanyak RM185 bagi
calon-calon menduduki kursus dan peperiksaan.
Inisiatif yang akan dijalankan di seluruh negeri adalah untuk meningkatkan
kesedaran awam mengenai keselamatan elektrik dan sebagai peringatan kepada
Orang Kompeten agar sentiasa memastikan sebarang kerja di bawah seliaan
masing-masing dilaksanakan berdasarkan aturan-aturan keselamatan yang telah
ditetapkan.
“ECoS tidak akan berkompromi sekiranya berlaku sebarang insiden kemalangan
disebabkan kecuaian oleh Orang Kompeten,” kata Ridwan.
