Skip to main content

16 PENGURUS TENAGA ELEKTRIK MENDAPAT PENGIKTIRAFAN ECoS

KOTA KINABALU, 25 September - Energy Commission of Sabah (ECoS) hari ini
mengiktiraf seramai 16 Pengurus Tenaga Elektrik Berdaftar ECoS (EREEM) yang telah
berjaya lulus peperiksaan yang dijalankan pada 5 September 2024 yang lalu.
Pengiktirafan ini adalah penting untuk memastikan EREEM memenuhi syarat-syarat
kelayakan dan mampu memenuhi tanggungjawab mereka seperti yang ditetapkan di
bawah Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik yang Cekap (EMEER) 2024.
Datuk Ir. Abdul Nasser bin Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, menyatakan,
"Hari ini, kita bukan sahaja meraikan pengiktirafan EREEM tetapi juga menegaskan
semula komitmen kita terhadap penggunaan tenaga yang lebih cekap. Kepakaran
golongan profesional ini adalah penting untuk pembangunan tenaga yang lebih lestari di
negeri Sabah di samping memastikan standard pengurusan tenaga adalah mematuhi
piawai industri"
Beliau menambah bahawa inisiatif ini selaras dengan usaha ECoS untuk memastikan
semua pengurus tenaga elektrik dan Certified Energy Manager (CEM) yang berkhidmat
atau bercadang untuk berkhidmat di Sabah adalah harus berdaftar dengan ECoS
menjelang 2 Januari 2025,
EREEM berfungsi sebagai individu berkelayakan dan berdaftar yang memberikan
khidmat juruperunding dan pemantauan berterusan kepada syarikat-syarikat premis
komersial dan industri dalam mematuhi keperluan perundangan yang berkuatkuasa di
Sabah.
Berdasarkan EMEER 2024, mana-mana syarikat yang mempunyai pepasangan yang
menerima atau menjana tenaga elektrik menyamai atau melebihi 3 juta kWj bagi
apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan berturut-turut adalah dikehendaki
untuk melantik EREEM bagi memenuhi kehendak perundangan tersebut.
Ketidakpatuhan terhadap perundangan adalah suatu kesalahan di bawah Peraturan 22,
EMEER 2024, yang, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi
RM20,000.00 atau penjara untuk tempoh tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya
sekali.