KOTA KINABALU, 25 September - Energy Commission of Sabah (ECoS) telah
melancarkan dua aplikasi atas talian iaitu ECoS Energy Information System (EEISy) dan
Talk2ECoS.
EEISy adalah platform atas talian yang direka khusus untuk memudah cara proses
pendaftaran sebagai Pengurus Tenaga Elektrik ECoS (EREEM) dan Syarikat
Perkhidmatan Tenaga ECoS (EESCO) untuk perkhidmatan berkaitan cekap tenaga
(Energy Efficiency).
"Sistem ini bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan operasi tetapi juga
memastikan pengurusan data yang teratur dan mudah diakses bagi semua pihak yang
terlibat," kata Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS
dalam ucapannya semasa upacara pelancaran sistem dalam talian EEISy dan
Talk2ECoS di Hyatt Centric Kota Kinabalu pada hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa maklumat yang dikemukakan oleh pihak EESCO
melalui sistem EEISy adalah penting untuk mengenal pasti dan memantau penggunaan
tenaga oleh industri-industri atau pengguna-pengguna besar tenaga di Sabah. Maklumat
yang sama juga akan membantu di dalam inisiatif ECoS seterusnya iaitu
membangunkan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Sabah (Sabah Energy Efficiency
Action Plan - SEEAP) iaitu salah satu strategi di dalam Sabah Energy Roadmap and
Masterplan 2040 dalam masa terdekat nanti.
“EESCO memainkan peranan penting dalam pelaksanaan audit tenaga dan memberikan
khidmat juruperunding kepada premis komersial dan industri ke arah pengurusan tenaga
elektrik yang lebih cekap. ECoS menyasarkan sekurang-kurangnya 10 EESCO berdaftar
dalam tahun ini bagi menyediakan perkhidmatan yang efektif kepada hampir 70 premis
yang memerlukan perkhidmatan mereka di negeri Sabah setakat ini," tambah beliau.
Manakala itu, pelancaran Talk2ECOS pula merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh
ECoS untuk mewujudkan platform pengurusan maklum balas merangkumi aduan,
pertanyaan, dan cadangan. Dengan memperkenalkan platform ini, EcoS akan dapat
memantau sebarang maklumat yang diterima untuk tindakan lanjut khususnya yang
masih tertangguh dan perlu diambil tindakan di peringkat pemegang-pemegang lesen
perkhidmatan pembekalan tenaga di Negeri ini.
“Pelancaran aplikasi EEISy dan Talk2ECoS hari ini merupakan salah satu inisiatif
pendigitalan yang dapat memanfaatkan banyak pihak selaras dengan peranan ECoS
untuk memudahcara keperluan pemegang-pemegang taruh khususnya dan masyarakat
amnya" jelas beliau dengan menambah bahawa inisiatif ini adalah bukti dedikasi ECoS
ke arah pencapaian visi Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP
2040).
"Kami komited dan menghargai setiap maklumat yang diterima dan akan mengambil
tindakan yang sewajarnya bagi setiap maklum balas dan cadangan yang bernas. Melalui
kerjasama ini, kami yakin bahawa kedua-dua aplikasi ini akan menjadi platform yang
penting dalam mewujudkan rantaian perhubungan dan jalinan kolaborasi di antara ECoS
dengan masyarakat secara amnya ” kata Datuk Nasser.
