.jpeg)
.jpeg)
SANDAKAN, 28 April - Dua penempatan setinggan di daerah Sandakan telah diserbu dalam Operasi Bersepadu yang diketuai oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) pada 22 dan 23 April 2026 bagi membanteras aktiviti pencurian serta penyalahgunaan bekalan elektrik.
Operasi ini turut disertai oleh lebih 50 orang pegawai daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Air Sabah (JANS), Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT), serta Sabah Electricity (SE).
Menurut Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ir. Ts. Ridwan Saham, sebanyak enam (6) kertas siasatan telah dibuka melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah mencuri elektrik, menjalankan aktiviti penjualan elektrik secara haram serta membuat penyambungan elektrik tanpa kebenaran,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa bagi kesalahan mencuri elektrik, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 61(3) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, kesalahan menjalankan aktiviti penjualan elektrik secara haram disiasat di bawah Seksyen 8(1)(b) enakmen yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan penyambungan elektrik secara haram tanpa kebenaran pemegang lesen iaitu Sabah Electricity, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 61(8) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa satu kes melibatkan aktiviti mencuri elektrik dan penjualan elektrik secara haram di penempatan setinggan di daerah Sepanggar kini sedang dalam proses pendakwaan di Mahkamah Kota Kinabalu.
ECoS menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan integriti sistem bekalan elektrik di Sabah terus terpelihara serta membanteras sebarang bentuk penyalahgunaan tenaga elektrik secara haram.
