Skip to main content

Anggaran kerugian 15 kes kecurian elektrik melebihi RM3 juta

Body

Anggaran kerugian 15 kes kecurian elektrik melebihi RM3 juta

SANDAKAN, 13 Jun – 15 premis di Kota Kinabalu, Kota Belud, Tuaran, dan Sandakan telah diserbu oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) disyaki memanipulasi meter SESB dan membuat sambungan elektrik haram telah mengakibatkan SESB mengalami kerugian melebihi RM3 juta. Daripada 15 premis yang diserbu, sebanyak 10 kes kecurian melibatkan pelbagai premis termasuk ladang udang, pusat pelancongan, kedai perabot, restoran, kilang ais, kilang memproses makanan laut dan pusat hiburan. ECoS telah merampas bukti seperti kabel sambungan haram, meter elektrik yang telah diubah suai, dan peralatan elektronik yang digunakan untuk mengganggu meter SESB. ECoS akan mengambil tindakan pendakwaan di mahkamah di bawah Seksyen 61(1) dan Seksyen 61(3) Enakmen Bekalan Elektrik 2024. Bagi Seksyen 61(1), sekiranya didapati bersalah, pemilik premis boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi Seksyen 61(3) pula, pemilik permis boleh didenda tidak kurang daripada RM20 ribu dan tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali; dan bagi kesalahan kedua dan yang berikutnya, pemilik permis boleh didenda tidak kurang daripada RM100 ribu dan tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mana-mana pihak yang didapati bersubahat melakukan pengusikan meter ataumembuat pendawaian elektrik secara haram juga boleh didakwa di bawah Seksyen 62 Enakmen Bekalan Elektrik 2024. Pada masa yang sama, SESB juga boleh
menuntut semula kerugian daripada pesalah laku berdasarkan Seksyen 63 (6) Enakmen Bekalan Elektrik 2024. Aktiviti serbuan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan juga turut melibatkan pemeriksaan ke atas pepasangan elektrik, di mana didapati sebanyak 20 unit genset yang tidak berdaftar dan tidak dilesenkan. Kesalahan ini boleh didenda sehingga RM500 ribu atau dipenjara sehingga tempoh 5 tahun atau kedua-duanya sekali berdasarkan Seksyen 8, Enakmen Bekalan Elektrik 2024. Dalam acara berasingan, ECoS juga merayakan pembukaan rasmi pejabat cawangan Wilayah Pantai Timur yang ditempatkan di Wisma Saban, Sandakan untuk membantu memudahkan urusan-urusan dan memberikan akses yang lebih mudah kepada pihak pemegang taruh untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan berkaitan dengan pendaftaran lesen, aduan, kekompetenan, keselamatan dan kecekapan tenaga. "ECoS akan terus melaksanakan serbuan dan aktiviti penguatkuasaan bagi membanteras kecurian elektrik dan memastikan semua pepasangan elektrik didaftar dan dilesenkan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024 supaya segala aktiviti pepasangan beroperasi dalam keadaan yang selamat. ECoS juga memberikan peringatan dan amaran kepada pengguna-pengguna elektrik supaya tidak membuat sebarang aktiviti pengusikan meter atau penyambungan haram untuk mengelakkan tindakan undang-undang diambil." kata ECos, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid.

Date