Skip to main content

3 Lagi Kes Kecurian Elektrik Didakwa di Mahkamah Oleh ECoS

SANDAKAN, 12 Disember - Energy Commission of Sabah (ECoS) tidak akan
berkompromi kepada individu atau syarikat yang melanggar undang-undang
yang telah diperuntukkan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
“Semua aktiviti kecurian elektrik yang berleluasa di Sabah telah
mengakibatkan kerugian yang parah terhadap Sabah Electricity (SE),” kata
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, dengan
menambah bahawa pihak SE juga akan memulakan tindakan undang-undang
sivil menuntut kerugian mulai awal tahun 2025.
Dalam sesi pendakwaan yang telah dijalankan oleh pegawai pendakwa
ECoS, Nureen Natasha Raffie pada 9 Disember di Mahkamah Sesyen
Sandakan, individu Cheen Hai Hok telah mengaku bersalah terhadap tiga kes
berasingan yang menyebabkan kerugian kepada Sabah Electricity (SE)
berjumlah lebih daripada RM180,089.24, dan hakim Mahkamah telah
menjatuhkan hukuman bayaran denda sebanyak RM20,000 dan sekiranya
gagal, penjara selama 6 bulan bagi setiap kes.
Individu atau syarikat yang didapati mencuri elektrik boleh didakwa di bawah
Seksyen 61(3)(e) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang boleh membawa
hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM1 juta
atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan
kesalahan.
“ECoS akan meneruskan proses pendakwaan bagi melindungi keselamatan
dan kepentingan awam di samping meningkatkan kebolehpercayaan
perkhidmatan elektrik. Setakat ini ECoS telah mendakwa sebelas kes
kecurian elektrik dan beberapa lagi kes yang ditemui tahun ini akan
berhadapan dengan tindakan pendakwaan awal tahun hadapan," kata Mohd
Adam Bohari, Pengarah Hal Ehwal Undang Undang ECoS.