KOTA KINABALU, 27 September – Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) kekal komited melalui strategi menyeluruh untuk menyelesaikan jurang bekalan berbanding permintaan elektrik dan memastikan kestabilan tenaga jangka panjang bagi pantai timur Sabah.
Strategi ini, yang dibangunkan melalui sokongan dan kerjasama rapat Kerajaan Negeri, melibatkan langkah-langkah pembangunan infrastruktur grid yang kritikal serta menyegerakan perlaksanaan projek-projek penjanaan. Pendekatan bersepadu ini dirangka untuk membina sistem tenaga yang lebih mampan untuk Sabah.
Datuk Ir. Abdul Nasser bin Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS menekankan komitmen melalui kolaborasi bersama untuk menyelesaikan isu bekalan tenaga di pantai timur menerusi pelan yang dimandatkan oleh Majlis Tenaga Sabah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri.
“Kami mengambil pendekatan menyeluruh dengan melaksanakan pelbagai inisiatif secara serentak. Ini termasuk memastikan penyelesaian interim segera yang telah dilaksanakan dan kini beroperasi, meningkatkan kebolehpercayaan infrastruktur grid sedia ada, memajukan projek penghantaran kritikal Southern Link serta pembangunan projek-projek penjanaan tenaga termasuk daripada sumber boleh diperbaharui. Usaha kolaboratif ini dilaksanakan bagi memenuhi keperluan segera, sambil membina asas tenaga mampan untuk masa depan,” kata Nasser.
Antara inisiatif utama yang memberi impak segera adalah meningkatkan daya harap sambungan Grid Timur-Barat Sabah sedia ada yang dikendalikan oleh Sabah Electricity (SE). Usaha ini dilaksanakan melalui intervensi serta pengajaran daripada insiden terkini bagi mencegah kejadian berulang di samping memastikan tahap ketersediaan tinggi loji penjanaan Diesel dan MFO sedia ada di pantai timur yang dikendalikan oleh Sabah Electricity dan IPP.
Bagi jangka sederhana, penambahan penjanaan tenaga akan dilaksanakan melalui loji janakuasa berkapasiti 160MW berasaskan bahanapi LNG di Tawau, seperti yang telah diluluskan oleh Majlis Tenaga Sabah pada Julai lalu. Loji ini berfungsi sebagai penyelesaian interim ke arah mencapai kecukupan tenaga di Pantai Timur yang disasarkan siap menjelang 2028.
Untuk jangka panjang, pembangunan talian penghantaran Southern Link 275kV dari Sipitang ke Tawau adalah merupakan fokus utama bagi melengkapkan tunjang utama sistem Grid Sabah. Ketika ini, Fasa 1 (Sipitang ke Padas, 60km dengan kos RM200 juta) telah bermula di peringkat awal pembangunan dan disasarkan siap pada 2028, manakala Fasa 2 (Padas ke Tawau, 270km dengan kos RM1.4 bilion) sedang giat diusahakan oleh Kerajaan Negeri dan ECoS untuk mendapatkan pembiayaan persekutuan agar projek ini dapat disiapkan tepat pada masanya menjelang 2030.
Bagi memastikan kemampanan jangka panjang, Kerajaan Negeri melalui ECoS sedang mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui melalui pelbagai projek secara berperingkat. Ianya melibatkan penyiapan segera projek solar sekitar 100MW yang dianugerahkan di pantai timur dan pembangunan projek hidroelektrik 141MW di Sungai Segama, Lahad Datu (di dalam peringkat kajian kebolehlaksanaan). Projek akan datang pula melibatkan RFP untuk kapasiti tambahan solar 250MW dan BESS 200MW/400MWh yang tertumpu di pantai timur, peningkatan projek-projek Biotenaga di pantai timur serta sumber geoterma 100MW di Tawau. Teknologi baharu seperti tenaga nuklear turut dikaji untuk perancangan jangka panjang.
ECoS bersama Kerajaan Negeri Sabah, ingin menekankan komitmen berterusan mereka untuk sentiasa berusaha bagi meningkatkan kestabilan tenaga di pantai timur Sabah dan keseluruhan Negeri Sabah secara amnya.
