
ECoS: Datuk Ir. Abdul Nasser bin Abdul Wahid, CEO | SIRIM QAS International Sdn Bhd: Ts. Md Adha Rahmat, CEO
KOTA KINABALU, 22 APRIL 2025 – SIRIM QAS International Sdn. Bhd. telah menerima Sijil Pendaftaran sebagai Badan Penilaian Pematuhan Kelengkapan Elektrik Terkawal daripada Energy Commission of Sabah (ECoS) dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini. Majlis ini turut menyaksikan pelancaran Label Keselamatan ECoS-SIRIM yang dipertingkatkan dengan ciri keselamatan terkini, termasuk kod QR bagi memudahkan pengesahan oleh orang awam dan pihak berkuasa. Label keselamatan yang ada pada produk elektrik domestik dan peralatan gas mempunyai ciri-ciri keselamatan dan perlindungan unik bagi memastikan hanya produk yang selamat, telah diuji dan diluluskan sahaja dibenarkan berada di pasaran, satu langkah yang dilihat memberi manfaat utama kepada pengguna di negeri ini. Label keselamatan ini memberikan kelebihan dalam aktiviti penguatkuasaan di premis, di mana produk yang dipamerkan boleh dikenal pasti dan disahkan dengan mudah, sekaligus memberi jaminan bahawa pembelian pengguna sentiasa mematuhi piawaian keselamatan dan pematuhan tertinggi. Majlis penyerahan antara ECoS dan SIRIM QAS International telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Abdul Nasser bin Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, kepada En. Ts Md Adha Rahmat, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International. Kerjasama strategik ini turut disaksikan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, serta YB Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak. “Saya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan SIRIM QAS dalam inisiatif ini bagi memastikan hanya produk yang menepati piawaian sahaja sampai ke tangan pengguna di Sabah,” kata YBhg. Datuk Ir. Abdul Nasser bin Abdul Wahid. Beliau menegaskan bahawa pengeluaran sijil ini merupakan langkah penting dalam memastikan hanya peralatan elektrik dan gas yang selamat digunakan oleh orang awam.
“Aktiviti penguatkuasaan di premis yang mengedar dan menjual peralatan elektrik dan gas yang dikawal selia telah pun bermula sejak hujung tahun lepas dan akan diteruskan bagi menghalang penyebaran dan penjualan produk tanpa label keselamatan,” tambah beliau lagi. Setakat ini, ECoS mengawal selia 35 kategori peralatan elektrik dan gas domestik di bawah Enakmen Bekalan Gas 2023 dan Enakmen Bekalan Elektrik 2024. Peralatan ini perlu diuji dan dilabelkan sebelum dipasarkan bagi menjamin keselamatan pengguna. Label ECoS-SIRIM pertama kali diperkenalkan pada tahun 2023 bagi peralatan gas dan pada tahun 2024 bagi peralatan elektrik. Versi terbaharu label ini telah ditambah baik dengan ciri kod QR yang membolehkan pengesahan dilakukan dengan mudah melalui aplikasi mudah alih SIRIM QAS. Pengguna boleh mengesahkan ketulenan produk dengan hanya mengimbas label keselamatan dan akan menerima maklumat produk secara langsung dengan mudah. Ini membantu orang awam membuat keputusan dengan bijak dan tepat semasa membeli peralatan gas dan produk elektrik untuk kegunaan isi rumah. “SIRIM QAS International berbangga dapat bekerjasama dengan ECoS bagi menyediakan jaminan kualiti menyeluruh untuk produk terkawal di bawah pengawasan mereka. Dengan label keselamatan baharu yang dipertingkatkan dengan ciri kod QR ini, kami komited untuk mencegah produk tiruan daripada dijual serta memberi kuasa kepada pengguna untuk mengesahkan produk secara serta-merta di hujung jari mereka,” kata Ts Md Adha Rahmat, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International. “Kami percaya bahawa dengan bekerjasama rapat bersama pihak berkuasa tempatan serta menggabungkan teknologi dan inovasi ke dalam label keselamatan produk kami, kami akan meningkatkan tahap pengujian, pemeriksaan dan pensijilan. Apabila keberkesanan produk dapat dijamin secara konsisten melalui langkah pematuhan yang ketat, ia akhirnya akan memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem – daripada pengilang, pengedar, penjual sehinggalah kepada pengguna. Ia adalah situasi menang-menang untuk semua,” tambah beliau lagi.
