Skip to main content

PROGRAM KHIDMAT BUDI ECOS 2025: BANTU PULIHKAN PENDAWAIAN ELEKTRIK RUMAH IBADAH

Program Khidmat Budi ECoS 2025 with Giatmara Keningau students and lecturers at St Gabriel Catholic Church, Keningau

Student from Giatmara Keningau doing electrical works at one of the surau in Keningau

Program Khidmat Budi ECoS 2025 with ILTP students and lecturers at Surau Kampung Pulai Manang, Beaufort

BEAUFORT, 22 MAC – Program Khidmat Budi ECoS, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak positif kepada komuniti melalui projek-projek kemasyarakatan, pemulihan infrastruktur, dan pembangunan kemahiran, khususnya bagi golongan yang terjejas dan memerlukan.

Program Khidmat Budi ECoS telah dimulakan dengan tumpuan kepada pemulihan dan pembaikan sistem pendawaian dalaman elektrik di rumah-rumah ibadah di daerah Beaufort dan Keningau dari 22 hingga 24 Mac 2025.

Program ini juga dilaksanakan sebagai respons terhadap kesan banjir yang melanda kawasan-kawasan tersebut, yang turut menjejaskan keselamatan pendawaian elektrik di premis awam.

Program ini telah dilaksanakan secara kolaboratif bersama Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP), Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Negeri Sabah, Giatmara Keningau, serta beberapa sukarelawan.

“Melalui program ini, kami berhasrat untuk memulihkan sistem pendawaian elektrik agar ia berfungsi dengan selamat. Selain itu, inisiatif ini juga dirancang untuk mengukuhkan hubungan dengan komuniti tempatan melalui sumbangan yang memberi impak langsung kepada kehidupan mereka,” kata Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS.

Program ini diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi ECoS, Encik Ridwan Saham, yang telah menyelesaikan kerja-kerja pembaikan pendawaian elektrik di 12 masjid dan surau serta empat gereja di kawasan yang terjejas.

Nasser berkata, "Sebelum program ini dijalankan, pegawai- pegawai ECoS yang juga merupakan Individu Kompeten bertauliah dari ECoS telah menjalankan lawatan menyeluruh di rumah-rumah ibadah di daerah Beaufort dan Keningau untuk menilai aspek keselamatan pendawaian elektrik. Kejayaan ini dicapai walaupun beberapa lokasi sukar diakses akibat bencana banjir yang baru-baru berlaku di beberapa kawasan di daerah-daerah tersebut.”

Menurut Nasser, “Program Khidmat Budi ECoS 2025 bukan sekadar menangani keperluan mendesak rumah-rumah ibadah yang terjejas, malah ia juga menyediakan platform pembelajaran praktikal yang berharga untuk pelajar TVET seperti ILTP dan Giatmara. Kami yakin inisiatif ini akan menyumbang kepada pemulihan komuniti yang terjejas oleh bencana banjir, sambil menyokong pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk masa depan negara.”

Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pemulihan komuniti dan pembangunan sumber manusia yang lebih mampan di negeri Sabah.

Nasser juga merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada ILTP, Giatmara Keningau dan beberapa sukarelawan yang turut serta dalam program Khidmat Budi kali ini.