KOTA KINABALU, 27 Januari - Energy Commission of Sabah (ECoS) merekodkan 28 kes kemalangan elektrik di seluruh Sabah sejak 2024 sehingga 27 Januari 2025, dengan sembilan daripadanya membabitkan kehilangan nyawa manusia.
ECoS telah memulakan tindakan pendakwaan di mahkamah bagi salah satu kes kemalangan yang melibatkan kematian dua orang pekerja kontraktor di Kota Marudu di hadapan Hakim A. Akhirudin Acho di Mahkamah Sesyen Sabah dan Sarawak di Kota Marudu.
Semasa sesi sebutan kes, pihak tertuduh mengaku tidak bersalah dan hakim telah menetapkan sesi perbicaraan kes ini pada 24 dan 25 Februari 2025. Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 55 Enakmen Bekalan Elektrik (EBE) 2024 dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300 ribu atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata, “Berdasarkan statistik, sebanyak 12 kes kemalangan elektrik maut dan 15 kes tidak maut direkodkan sepanjang tahun lepas dan antara punca tertinggi kemalangan elektrik ini adalah disebabkan oleh aktiviti berdekatan talian elektrik yang dilaksanakan tanpa kebenaran Sabah Electricity (SE) selaku pihak pemunya utiliti.”
Beliau menambah bahawa terdapat juga kes yang disebabkan kegiatan mencuri elektrik di penempatan setinggan, cubaan mencuri pepasangan elektrik dalam pencawang milik SESB, serta pepasangan elektrik yang gagal diselenggara dengan baik.
Mengulas lanjut, Nasser menyatakan selain tindakan pendakwaan di mahkamah, ECoS juga telah mengeluarkan sebanyak lapan kompaun pada tahun lepas di mana amaun kompaun yang dikenakan antara RM10,000 hingga RM150,000 bergantung kepada jenis kesalahan
“ECoS memberi amaran kepada mana-mana pihak yang ingin menjalankan kerja berhampiran pepasangan SE untuk mendapatkan kebenaran syarikat tersebut sebelum menjalankan kerja selaras dengan Seksyen 55 Enakmen Bekalan Elektrik (EBE) 2024 dan akan terus komited untuk mempergiatkan program-program kesedaran kepada orang awam di Sabah mengenai kepentingan keselamatan elektrik,” kata Nasser.
Beliau juga menekankan bahawa pentingnya semua Orang Kompeten yang berkhidmat di negeri Sabah wajib mendapatkan Perakuan Kekompetenan daripada ECoS selaras dengan Peraturan 60, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik (PPBE) 2024.Beberapa lagi kes sedang disiasat oleh ECoS dan kemungkinan berhadapan dengan tindakan pendakwaan di mahkamah atau dikenakan kompaun.
