Skip to main content

ECoS Memulakan Proses Pendakwaan Pencuri Elektrik di Sabah

KOTA KINABALU, 13 November 2024 - Energy Commission of Sabah (ECoS) telah
memulakan proses pendakwaan di mahkamah terhadap individu dan syarikat-syarikat yang
dituduh mengusik meter elektrik yang menyebabkan kerugian kepada Sabah Electricity (SE)
berjumlah lebih daripada RM3 juta.
"Serbuan-serbuan yang dilaksanakan oleh ECoS dan SE sejak bulan Mei 2024 telah
menemui bukti kukuh pengusikan meter yang menyebabkan meter gagal merekodkan
penggunaan elektrik yang sepatutnya. Maklumat-maklumat awal berkaitan aktiviti
pengusikan meter diperolehi daripada rekod pengebilan yang rendah yang menimbulkan
keraguan," kata Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid.
Beliau turut memaklumkan bahawa selain daripada tindakan pendakwaan jenayah di
mahkamah oleh ECoS, pihak SE juga telah memulakan tindakan undang-undang sivil
menuntut kerugian mulai awal tahun 2025.
Lima kes telah difailkan di Mahkamah Sesyen di Sandakan, Sabah di bawah Seksyen 61(3)
Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang
daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau
kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
“Selepas ini, ECoS akan meneruskan pendakwaan sebanyak sembilan lagi kes kecurian
elektrik. Semua aktiviti kecurian elektrik mesti ditangani dengan tegas mengikut lunas
undang-undang untuk melindungi kepentingan awam dan mengekalkan kebolehpercayaan
perkhidmatan elektrik," kata Nasser.
Dalam sesi-sesi pendakwaan yang telah dijalankan secara berasingan pada 10 dan 11
November di mahkamah Sesyen Sandakan, individu-individu Wong Kin Hong, Chang Wan
Yee, Wan Kok Hsiung serta syarikat Phoenix Series (S) Sdn Bhd dan Sama Marketing Sdn
Bhd, telah mengaku bersalah dan hakim telah menjatuhkan hukuman bayaran denda
sebanyak RM20,000 dan sekiranya gagal dibuat, penjara selama 6 bulan.
“Tindakan pendakwaan yang dilaksanakan oleh ECoS adalah perlu bagi membanteras
aktiviti-aktiviti curi elektrik yang semakin berleluasa di negeri Sabah di samping membantu
SE dari mengalami kerugian hasil yang lebih parah jika tidak dibendung. ECoS tidak akan
berkompromi kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang yang telah
diperuntukkan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024,” kata Nasser