PEMAKLUMAN KEPADA PEMEGANG PERAKUAN KEKOMPETENAN ELEKTRIK ST & SEDA MALAYSIA
Sila ambil perhatian bahawa bermula Januari 2025, selaras dengan Peraturan 60 di bawah Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024, hanya Perakuan Kekompetenan Elektrik atau Solar PV ECOS akan diiktiraf bagi sebarang urusan pendaftaran di bawah pentadbiran ECOS.
Bagi memastikan kelancaran operasi, ECOS telah memperkenalkan Kursus Modul Enakmen Bekalan Elektrik (EBE) 2024 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik (PPBE) 2024 sebagai platform bagi melayakkan Pemegang Perakuan Kekompetenan Elektrik ST atau Pemegang Perakuan Kekompetenan Solar PV SEDA Malaysia seperti berikut, untuk memohon Perakuan Kekompetenan Elektrik atau Solar PV ECOS yang setara.
- Pemegang Perakuan yang telah didaftarkan di bawah mana-mana majikan berdaftar dengan ECOS tidak terhad kepada senarai seperti berikut:
- Syarikat Kontraktor Perkhidmatan Elektrik
- Syarikat Kontraktor Elektrik
- Syarikat Unit Pendawaian Persendirian
- Syarikat Kontraktor Papan Tanda Elektrik
- Syarikat Pengilang Papan Suis
- Syarikat Utiliti
- Pemunya Pepasangan Elektrik Awam dan Persendirian
- Pemunya Pepasangan Elektrik
- Institusi Latihan Ditauliah
- Pemegang Perakuan yang belum didaftarkan di bawah mana-mana majikan berdaftar dengan ECOS dan berhasrat untuk bekerja di Sabah.
Bagi memastikan keseragaman pelaksanaan Kursus Modul ini adalah secara teratur, sebanyak 16 institusi latihan di serata Sabah telah ditauliah bagi menjalankan Kursus Modul ini (termasuk peperiksaan). Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut, sila hubungi terus mana-mana institusi latihan yang telah dilantik dengan merujuk kepada Senarai Pusat Latihan Bertauliah Elektrik di Laman Sesawang Rasmi ECOS.
Sebarang pertanyaan boleh dimajukan kepada info@ecos.gov.my.
Sekian.